STOCKHOLM: Perdana Menteri wanita pertama Sweden, Magdalena Andersson dilaporkan meletak jawatan kira-kira 12 jam selepas pelantikan beliau.
Andersson yang merupakan anggota Parti Demokrat Sosial meletakkan jawatannya selepas Parti Green meninggalkan gabungan dua parti dibawah kerajaan campuran, sekaligus mencetuskan ketidaktentuan politik.
Parti Green menarik diri selepas Parlimen menolak pembentangan rang undang-undang belanjawan gabungan tersebut.
Bagaimanapun, Andersson memaklumkan kepada Speaker Parlimen bahawa beliau berharap untuk dilantik semula sebagai perdana menteri di bawah parti tunggal.
“Saya meminta Speaker untuk melucutkan jawatan saya sebagai perdana menteri.
“Saya bersedia untuk menjadi perdana menteri dalam kerajaan parti tunggal iaitu Sosial Demokrat,” katanya dalam sidang akhbar.
Sementara itu, menurut Parti Green, pihaknya akan menyokong Andersson dalam sebarang undi pengesahan baharu di Parlimen manakala Parti Centre menyatakan akan mengambil pendekatan berkecuali yang mana praktiknya sama dengan menyokong pencalonannya.
Parti Left pula menyatakan akan menyokongnya. – AGENSI