LONDON: Gumpalan tisu basah yang bersamaan saiz dua gelanggang tenis dikesan terkumpul di sepanjang Sungai Thames di Hammersmith.
Perkara itu disedari selepas badan pemuliharaan sungai, Thames21 melakukan imbasan sonar dan laser di tebing sungai berkenaan di barat London.
Imbasan itu menunjukkan gumpalan tisu basah setinggi satu meter terbentuk di tebing sungai berhampiran Jambatan Hammersmith sejak enam tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Thames21, Gebbie Leach berkata, data itu menunjukkan kesan kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan tisu basah terhadap ekosistem semula jadi.
“Kami amat menyokong pembuatan tisu basah tanpa menggunakan partikel plastik dan berharap sungai kita akan bebas daripada pencemaran,” katanya.
Tisu basah kebiasaannya diperbuat daripada plastik dan apabila bercampur dengan bahan buangan semulajadi yang lain, ia akan membentuk gumpalan yang sukar diurai.
Dalam pada itu, Pengarah Pengurusan Sungai Thames, Anna Boyles berkata, banyak keluarga berasa senang dengan penggunaan tisu basah, namun perlu mengetahui kesannya terhadap alam sekitar.
“Membuang tisu basah ke dalam tandas sama seperti membuang plastik.
“Ada juga tisu basah yang kononnya akan terurai, namun itu semua sekadar strategi pemasaran. Produk itu tetap terkumpul dan tersumbat di dalam paip serta sungai,” ujarnya.
Sementara itu, sebuah syarikat, Tideway kini giat membangunkan sistem pembetung baharu sepanjang 25 kilometer di bawah sungai yang dijangka siap menjelang 2025.
Pembetung itu berupaya menyekat lebih 95 peratus bahan buangan dalam Sungai Thames.