LONDON: Ribuan bidan mengadakan protes di beberapa bandar utama di seluruh United Kingdom (UK) bagi menggesa kerajaan menangani krisis penjagaan bersalin.
Lapor Metro, penganjur demonstrasi memaklumkan, langkah-langkah sewajarnya harus diambil dengan segera untuk menghalang mereka daripada meninggalkan kerjaya itu.
Mereka memberi amaran sekiranya masalah itu gagal ditangani maka ‘tidak akan ada bidan lagi di UK’ dalam tempoh terdekat.
Para penyokong March with Midwives berkumpul di sekitar pekan dan bandar di seluruh UK dengan tunjuk perasaan diadakan di Dataran Parlimen London, Birmingham dan Manchester.
“Amat jelas perkhidmatan bersalin di UK kini berada dalam krisis. Melahirkan anak di negara berpendapatan tinggi semakin menjadi tidak selamat dan itu tidak boleh diterima.
“Justeru, kami menggesa kerajaan UK melaksanakan pengurusan krisis dan sumber dengan segera,” jelas kenyataan dikeluarkan penganjur March with Midwives.
Menurut kumpulan tersebut, pihaknya mengemukakan empat tuntutan kepada ahli politik.
Tuntutan itu terdiri daripada mendengar keluhan kakitangan, pengguna perkhidmatan dan peguam bela mereka, membiayai dana simpanan kecemasan kakitangan, membenarkan semua bidan bertauliah bekerja serta memberi sokongan kepada pelajar menamatkan kursus dan mengurangkan permintaan terhadap kakitangan.
Sementara itu, Royal College of Midwives (RCM) menyatakan kakitangan mereka amat letih selepas bertahun-tahun terpaksa bekerja di wad dengan masalah kekurangan pekerja dan sumber tidak mencukupi.
Akibatnya, dakwa RCM, lebih separuh bidan mahu berhenti termasuk mereka yang menyertai kerjaya berkenaan dalam tempoh lima tahun lalu. – AGENSI