NEW YORK: Gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada 19 November ini bakal menjadi gerhana bulan paling lama dalam abad ini.
Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), gerhana bulan itu akan berlaku selama tiga jam dan 28 minit.
Pada 2018, gerhana bulan penuh berlaku selama satu jam 42 minit dan 57 saat.
Kebiasaannya, gerhana akan berlangsung kurang dari dua jam, maka fenomena alam yang bakal berlaku pada tengah November ini disifatkan gerhana bulan paling lama.
Bulan pada penghujung November ini juga dikenali dengan nama ‘frost moon‘ atau beaver moon‘.
Ini bermaksud, gerhana bulan kali ini akan menjadi ‘blood moon‘ separa dengan warna kemerahan dapat dilihat pada permukaan bulan.
Blood moon adalah gelaran diberikan untuk fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku ketika posisi Bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang Bumi menutupi bulan.
Pada 19 November ini, dianggarkan hampir 97 peratus bulan akan terlindung dari Bumi.
Antara 2001 hingga 2100, sebanyak 288 fenomena gerhana bulan dijangka berlaku.