SINGAPURA: Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dan udara antara Singapura-Malaysia secara rasminya bermula semalam selepas hampir dua tahun sempadan kedua-dua negara ditutup susulan pandemik Covid-19.
Sebelum pandemik, kira-kira 300,000 pengguna berulang alik menyeberangi tambak dari Malaysia ke Singapura untuk pelbagai urusan, terutamanya bagi rutin pekerjaan.
Seorang rakyat Malaysia, Eunice Teoh yang bekerja di republik ini menzahirkan kegembiraan kepada akhirnya dapat pulang bertemu dengan keluarga tersayang.
“Selepas dua tahun terpisah, akhirnya saya dapat pulang bertemu keluarga di Pahang. Tiada apa yang lebih menggembirakan daripada ini.
“Saya berasa sedikit bimbang memandangkan ini fasa pertama, saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, terutamanya selepas varian Omicron ditemukan,” katanya ketika ditemui AFP semasa menunggu untuk menaiki bas pertama ke Malaysia.
Kira-kira 3,000 pengguna VTL darat akan menyeberangi tambak setiap hari dengan menggunakan bas khas.
Pihak berkuasa Singapura memaklumkan, fasa pertama VTL darat ini menyasarkan pekerja Malaysia yang sudah lama tidak pulang bertemu dengan keluarga sejak pandemik bermula.
Laluan VTL udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga bermula hari ini.
Seorang rakyat Malaysia, Christine Soong tidak sabar untuk bertemu dengan keluarganya di Singapura.
“Sudah terlalu lama saya simpan rindu ini untuk mereka. Sudah tiba masanya saya balik berjumpa keluarga tersayang,” katanya ketika menunggu pesawat di KLIA.
Rakyat Malaysia merupakan antara penyumbang terbesar tenaga kerja di Singapura yang ketika ini mempunyai populasi sebanyak 5.5 juta orang. – AFP