GENEVA: Ketua Pasukan Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar berharap Facebook membekalkan lebih banyak maklumat ketika pasukannya berusaha mengumpulkan bukti mengenai insiden jenayah antarabangsa paling serius sejak 2011.
Lapor Reuters, Mekanisme Penyiasatan Bebas Myanmar (IIMM) bertujuan mengumpulkan fail kes bagi prosiding di peringkat mahkamah negara, serantau atau antarabangsa.
IIMM ditubuhkan sejak 2018 oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB.
Sebelum ini, pihak Facebook memaklumkan mereka akan bekerjasama dengan IIMM.
Pada 2018, penyiasat PBB berkata, media sosial menjadi saluran menyebarkan ucapan berunsurkan kebencian yang dipenuhi dengan unsur keganasan.
Disebabkan itu, Facebook terpaksa menyekat kandungan ucapan berunsurkan kebencian tersebut.
Ketua IIMM yang berpangkalan di Geneva, Nicholas Koumjian berkata, pihaknya mula bekerjasama dengan Facebook sejak mula beroperasi 2019 dan kerap mengadakan pertemuan.
“Kami terus berunding dan sebenarnya berharap akan menerima lebih banyak maklumat.
“Saya tahu terdapat beberapa permintaan yang sedang dipertimbangkan semula,” katanya kepada wartawan di New York.
Myanmar berdepan pertuduhan melakukan pembunuhan besar-besaran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sejak tindakan ganas pihak tentera terhadap etnik Rohingya, 2017.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan lebih 730,000 penduduk terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.
Myanmar pula berusaha menafikan tuduhan melancarkan pembunuhan besar-besar dan menjelaskan pihak berkuasa menjalankan operasi sah terhadap militan yang menyerang pos polis.