CALIFORNIA: Facebook buat pertama kali mendedahkan kejadian buli dan gangguan di platformnya dengan kandungan sedemikian dapat dilihat sebanyak 14 hingga 15 kali setiap 10,000 tontonan dalam lawan web, pada suku ketiga tahun ini.
Syarikat media sosial yang mengubah nama kepada Meta itu memaklumkan dalam laporan kandungan suku tahun, yang mendapati kandungan sedemikian dapat dilihat sebanyak lima hingga enam kali bagi setiap 10,000 tontonan di Instagram.
Syarikat gergasi media sosial itu sudah lama berada dalam pemantauan berhubung pengendalian penyalahgunaan perkhidmatan.
Bekas pekerja dan pemberi maklumat, Frances Haugen membocorkan dokumen dalaman termasuk penyelidikan dan perbincangan mengenai kesan Instagram terhadap kesihatan mental remaja serta kebarangkalian Facebook boleh mencetuskan perpecahan.
Haugen berkata, dokumen itu menunjukkan syarikat itu sanggup memilih keuntungan berbanding keselamatan pengguna.
Bagaimanapun, Facebook mempertikaikan pencirian itu kerana mendakwa dokumen tersebut digunakan dengan melukis ‘gambar palsu’.
Dokumen yang kali pertama dilaporkan oleh Wall Street Journal mendorong seruan supaya Facebook menjadi lebih telus dan menimbulkan persoalan sama ada metrik seperti kelaziman memberikan gambaran penuh tentang cara syarikat mengendalikan penyalahgunaan.
Sebanyak 9.2 juta kandungan dikeluarkan daripada Facebook kerana melanggar peraturan buli dan gangguan dengan 59.4 peratus direkodkan secara proaktif.
Ketua Keselamatan Global Facebook, Amit Bhattacharyya berkata, buli dan gangguan adalah cabaran unik dan isu paling kompleks untuk ditangani kerana konteks yang kritikal.
Dalam pada itu, Facebook memaklumkan pihaknya akan menghalang kandungan iklan yang menyasarkan topik ‘sensitif’ melibatkan bangsa, agama, seksualiti atau parti politik.
Facebook akan menguatkuasakan perkara itu bermula 19 Januari tahun depan bagi mengelakkan serangan terhadap kelompok tertentu seperti perkahwinan sesama jenis. -REUTERS