BARCELONA: Sekurang-kurangnya empat orang maut, termasuk seorang bayi dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dalam kebakaran di sebuah bangunan terbiar yang dijadikan tempat tinggal oleh satu keluarga, di sini hari ini.
Menurut pasukan bomba Sepanyol, empat lagi penghuni bangunan tersebut berjaya diselamatkan ketika pemadaman api dilakukan.
Pihak berkuasa memaklumkan, tiada mangsa terperangkap dalam bangunan tersebut.
Jurucakap pihak berkuasa tempatan memaklumkan, bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 6 pagi waktu tempatan.
Tingkat yang diduduki keluarga berkenaan pernah dijadikan sebagai bank sebelum ditutup.
Keluarga berkenaan tinggal di bangunan tersebut kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Sementara itu, bomba akan menyiasat punca kebakaran. – AFP