PARIS: Peruncit peralatan sukan, Decathlon memaklumkan pihaknya tidak akan lagi menjual kayak di cawangannya di utara Perancis.
Lapor Daily Mail, keputusan itu dibuat selepas didapati para pendatang menggunakan barangan tersebut untuk menyeberang laut secara berbahaya ke Britain.
“Pembelian kayak tidak boleh lagi dilakukan di premis Decathlon di Calais dan Grande-Synthe berhampiran Dunkirk dengan mengambil kira keadaan semasa.
“Kami dapati barangan itu tidak digunakan bagi tujuan bersukan tetapi mungkin diguna pakai untuk menyeberangi Selat Inggeris.
“Dalam kes demikian, tindakan itu sudah pasti boleh membahayakan nyawa orang,” jelas Decathlon.
Jumaat lalu, tiga pendatang dilaporkan hilang selepas cuba menyeberang Selat Inggeris dengan menggunakan kayak untuk sampai ke United Kingdom (UK).
Menurut Decathlon, premis di Calais dan Grande-Synthe memutuskan sendiri untuk menghentikan jualan kayak dan pihak pengurusan menyokong keputusan terbabit.
Bagaimanapun, Decathlon memaklumkan kayak masih boleh didapati menerusi dalam talian dan di cawangan lain.
Tambah Decathlon, peralatan lain seperti jaket keselamatan masih akan dijual di kedua-dua cawangan tersebut.