LONDON: Seorang doktor pakar yang menghabiskan masa selama dua tahun merawat pesakit Covid-19 akhirnya meninggal dunia akibat dijangkiti virus itu.
Lapor The Guardian, Dr. Irfan Halim terpaksa berpisah dengan keluarga selama empat bulan ketika pandemik melanda dunia.
Dr. Irfan asalnya pengsan 10 September lalu ketika sedang bertugas di Hospital Swindon selepas dijangkiti Covid-19.
Dia kemudian dirawat di unit rawatan rapi di Swindon hingga 23 September lalu, sebelum dipindahkan ke The Royal Brompton di London.
Dr. Irfan menerima rawatan extracorporeal membrane oxygenation (ECMO), sebuah mesin sementara bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru.
Dr. Irfan disifatkan sebagai doktor Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang luar biasa, berbakat dan bekerja keras untuk membantu orang lain.
Beliau adalah perunding pakar bedah am yang sudah bekerja dalam bidang perubatan selama 25 tahun.
Bapa empat anak itu adalah pakar dalam pembedahan laparoskopi dan bekerja di Harley Street.
“Dr. Irfan sangat dicintai dan menyentuh kehidupan ramai orang.
“Sayangnya dia diambil terlalu cepat daripada individu yang mencintainya.
“Dia bukan hanya seorang suami yang pengasih, ayah yang setia untuk empat anak kecil, tetapi juga manusia luar biasa bagi semua orang yang pernah bertemu dengannya,” kata rakan sekerjanya.