BEIJING: Disneyland Shanghai ditutup hari ini selepas satu kes Covid-19 baharu dilaporkan.
Langkah itu dibuat ketika pihak berkuasa China meneruskan strategi sifar jangkitan Covid-19 menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk.
China berjaya mengurangkan sebahagian besar kes penularan tempatan sepanjang pandemik Covid-19 namun terdapat peningkatan kes jangkitan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Keadaan itu menguji keazaman Beijing yang mahu menghapuskan Covid-19 ketika kebanyakan negara mula membuka sempadan dan melonggarkan sekatan.
Sebanyak 92 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, jumlah tertinggi dicatatkan sejak pertengahan bulan lalu.
Berdasarkan laporan media tempatan, Disneyland Shanghai ditutup selepas seorang wanita yang mengunjungi taman tema itu disahkan positif Covid-19 setelah pulang ke rumahnya di wilayah berdekatan.
Menurut pihak pengurusan Disneyland Shanghai, taman tema itu akan ditutup sekurang-kurangnya selama dua haru bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan pandemik.
Tambahnya, tarikh pembukaan semula taman tema masih belum ditentukan.
Disneyland Shanghai mula melarang kemasukan orang ramai bermula petang semalam dengan semua pengunjung diwajibkan melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum meninggalkan taman tema itu. – AFP