WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berikrar untuk mempromosi prinsip demokrasi di seluruh dunia.
Namun, sejak Biden memegang jawatan tertinggi di AS, prinsip demokrasi berdepan rintangan demi rintangan.
Antara tiga negara mengalami peralihan demokrasi adalah Myanmar dan Sudan yang menyaksikan rampasan kuasa tentera, menggulingkan pemimpin awam dan menyekat protes jalanan rakyat.
Di Tunisia, presidennya memecat perdana menteri dan menggantungkan Parlimen negara itu yang disifatkan pihak pembangkang sebagai ‘rampasan kuasa’ secara meluas.
Rampasan kuasa tentera turut berlaku di negara Afrika Barat Guinea, Mali dan Chad.
Malah, di Afghanistan pula, kumpulan Taliban mengambil alih pemerintahan selepas pengunduran tentera AS yang membawa kepada kejatuhan kerajaan disokong barat.
Selain faktor tempatan yang memainkan peranan dalam kejadian itu di setiap negara, beberapa pakar turut melihat krisis ekonomi yang bertambah buruk dengan pandemik Covid-19, perubahan iklim, pemerintah gagal memenuhi aspirasi serta peranan China semakin meningkat.
“Terdapat peningkatan serangan terhadap demokrasi di seluruh dunia dan bukannya untuk menuntut demokrasi.
“Ia membabitkan soal pemikiran lama terutamanya dalam kalangan tentera yang tidak mudah melepaskan kuasa dan keistimewaan,” kata Presiden Institut Kebangsaan, Derek Mitchell.
SIDANG KEMUNCAK DEMOKRASI
Bagi memenuhi janji kempennya, Biden mengumumkan sidang kemuncak demokrasi bermula pada bulan depan.
Beliau menunjukkan perbezaan ketara berbanding Donald Trump yang secara terbuka menyokong kepemimpinan autoritarian dan didakwa menghasut ribuan penyokong menyerang bangunan Capitol AS hanya kerana mengiktiraf kemenangan Biden.
“Demokrasi mengambil masa beberapa dekad untuk disatukan dan bertahun-tahun untuk terhakis.
“Jadi, saya rasa tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mana-mana pentadbiran dalam tempoh sembilan bulan pertama untuk menggerakkan demokrasi global,” kata seorang felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace, Frances Z Brown.
Menurut Brown, Biden juga bertindak balas dengan pantas terhadap isu rampasan kuasa di Myanmar dan Sudan dalam beberapa perkara termasuk menggantung bantuan.
“Ini menunjukkan AS sedang memerhati dan mengambil berat. Tiada ‘peluru ajaib’ namun saya rasa semuanya penting,” katanya.
Biden juga melaksanakan tindakan seperti menghentikan beberapa sokongan ketenteraan untuk Arab Saudi dan memanfaatkan sebahagian besar bantuan itu kepada Mesir untuk tujuan kemajuan hak asasi manusia.
Sementara itu, seorang felo pelawat di Institut Agora, Universiti John Hopkins, Scott Warren berkata, langkah Biden menjemput pemimpin menghadiri sidang kemuncak itu tidak mencukupi.
Katanya, Biden juga harus mengutamakan kumpulan masyarakat sivil dan belia dalam sidang tersebut.
“Kadang kala strategi AS ke arah demokrasi boleh menjadi sangat reaktif. Saya rasa mempunyai
strategi yang lebih proaktif adalah sangat penting dalam perkara ini,” katanya. – AFP