PARIS: Syarikat farmaseutikal, Merck memaklumkan pil antiviral yang dihasilkan untuk merawat Covid-19 didapati kurang berkesan untuk mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kes kematian pesakit dijangkiti virus itu berbanding laporan sebelum ini.
Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mengeluarkan keputusan ujian klinikal penuh pil antiviral berkenaan.
Menurut Merck, pil molnupiravir hanya berupaya mengurangkan 30 peratus dalam kadar kemasukan ke hospital dan kes kematian akibat Covid-19 berbanding plasebo.
Keputusan itu berdasarkan data membabitkan seramai 1,140 individu dijangkiti Covid-19.
Bulan lalu, syarikat itu memaklumkan data diambil dari 775 pesakit menunjukkan pengurangan sebanyak 50 peratus dalam dua kriteria berkenaan.
Peratusan baharu itu jauh lebih rendah berbanding angka awal yang dinyatakan sebelum ini.
Dalam laporan terbaharu itu, satu kes kematian direkodkan bagi kajian pil molnupiravir berbanding sembilan kes dicatatkan dalam plasebo. – AGENSI