NAIROBI: Golongan remaja di Kenya dan Rwanda kini layak menerima suntikan vaksin Pfizer ketika kedua-dua negara memulakan kempen vaksinasi Covid-19.
Lapor BBC, Rwanda memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas bermula Selasa manakala Kenya pula hanya membenarkan individu berusia 15 tahun ke atas.
Rwanda mempunyai penduduk lengkap divaksin yang tinggi di Afrika Timur dengan lebih 20 peratus daripada jumlah populasinya.
Selebihnya termasuk Kenya, Tanzania dan Uganda hanya mencapai kadar vaksinasi lengkap kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduk.
Program vaksinasi remaja di Rwanda akan dilaksanakan di seluruh negara dan memerlukan ibu bapa atau penjaga menandatangani borang kebenaran sebelum anak-anak mereka diberi suntikan vaksin.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah untuk pengagihan dan pengumpulan borang kebenaran.
Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Kenya, pihaknya akan menerima sebanyak empat juta dos vaksin Pfizer bagi program vaksinasi golongan remaja negara itu. – AGENSI