NEW YORK: Pengasas syarikat Pavlok, Maneesh Sethi sanggup mengupah seorang wanita dari laman web iklan, Craiglist untuk menampar dirinya setiap kali membuka Facebook ketika sedang bekerja.
Tindakan itu dikatakan mampu meningkatkan produktiviti dan dia mencari individu bersesuaian di Craiglist yang sanggup menampar dirinya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pavlok itu, dia mengupah seorang wanita bernama Kara dengan bayaran AS$8 (RM33) sejam bagi melakukan tugasan tersebut.
Sethi memaklumkan langkah itu sangat berkesan dan produktivitinya meningkat 98 peratus.
Gambar seorang wanita menampar lelaki tersebut ketika melayari Facebook tular dalam Twitter dan meraih perhatian Bilionair, Elon Musk.
CEO Tesla dan SpaceX itu memberikan maklum balas terhadap gambar itu dengan dengan dua emoji api sehingga mendapat 10,000 tanda suka.