LONDON: Bekas Menteri Vaksin, Nadhim Zahawi mendakwa Britain bakal menjadi negara pertama di dunia yang berjaya menangani pandemik Covid-19 menerusi suntikan vaksin.
Dakwaan itu dibuat ketika para pakar menegaskan United Kingdom (UK) kononnya berjaya mengelak gelombang kes Covid-19 yang dihadapi Eropah ketika ini kerana negara itu meneruskan ‘Hari Kebebasan’.
Lapor Daily Mail, Nadhim menyifatkan langkah menggugurkan semua sekatan Covid-19 pada Julai lalu merupakan tindakan yang betul dan wajar.
Beliau juga menyatakan UK bakal menjadi negara ekonomi pertama yang beralih daripada pandemik ke fasa endemik kerana giat menangani kes varian Delta dan berlumba mendahului kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) lain dalam memberikan suntikan dos penggalak.
“Ada pihak menganggapnya sebagai kesilapan namun saya rasa ia merupakan perkara betul untuk dilakukan,” katanya kepada Radio LBC.
Ketika ini, terdapat gelombang baharu kes penularan varian Delta di benua Eropah sehingga menyebabkan banyak negara melaksanakan semula sekatan ketat sekaligus mencetuskan demonstrasi.
Britain dikecam dan dilabel sebagai sick man of Europe sepanjang musim panas dan luruh lalu kerana secara konsisten merekodkan kadar jangkitan kes paling tinggi di Eropah. – AGENSI