LONDON: Rakyat Britain yang masih belum mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 akan dilarang daripada bercuti di Eropah pada tahun depan.
Kesatuan Eropah (EU) membuat pengumuman mengenai perkara itu baru-baru ini.
Lapor The Sun, Brussels mendedahkan peraturan perjalanan baharu yang mewajibkan semua individu berumur 18 tahun ke atas mengambil dos penggalak dalam tempoh sembilan bulan selepas suntikan vaksin Covid-19.
Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa pada awal bulan Mac.
Dilaporkan, perubahan itu dijangka menjejaskan pelan percutian musim panas jutaan penduduk.
“Selepas 1 Mac, individu yang belum ambil dos penggalak bermakna tidak boleh melakukan perjalanan ke EU bagi urusan tidak penting,” kata seorang sumber.
Langkah itu menandakan peralihan radikal berbanding pendekatan semasa EU yang menyasarkan seluruh negara dengan sekatan.
Bagaimanapun, pengunjung dapat melakukan perjalanan ke benua itu dari mana-mana sahaja tanpa sebarang masalah selagi mereka sudah divaksin.
Sementara itu, menurut laporan tersebut, rakyat Britain masih boleh mengelak sekatan itu dengan mengemukakan bukti dokumen pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan dari perjalanan mereka.
Golongan dibawah 18 tahun pula akan dibenarkan melakukan perjalanan dengan mengemukakan keputusan ujian negatif Covid-19 dibawah rancangan tersebut.
Namun, individu berkenaan hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke EU atas urusan penting dan bukannya untuk tujuan percutian.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Sajid Javid mencadangkan para menteri mahu semua orang dewasa di United Kingdom (UK) diberi suntikan dos ketiga vaksin Covid-19. – AGENSI