BANDA ACEH: Seekor anak gajah mati selepas dua hari dirawat ekoran separuh belalainya terpaksa dipotong.
AP melaporkan, ini akibat haiwan itu terkena perangkap pemburu gading di Sumatera.
“Kita sudah cuba sehabis baik tetapi gagal menyelamatkannya,” jelas Ketua Agensi Pemuliharaan Aceh, Agus Arianto.
Jelas Agus, belalai anak gajah itu menjadi reput dan tidak lagi berfungsi dengan baik.
Anak gajah itu merupakan antara spesies terakhir daripada 700 ekor gajah Sumatera liar yang wujud di pulau itu.
Ia ditemukan pegawai hidupan liar dalam keadaan sangat lemah serta belalainya hampir pupus, Ahad lalu.
Agus memberitahu, pihaknya terpaksa memotong separuh daripada belalai gajah itu dalam satu pembedahan di Pusat Santuari Gajah dekat sini.
Kegiatan pemburu haram semakin meningkat selepas ramai yang terkesan akibat Covid-19.