NEW YORK: Kenderaan robotik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Perseverance menemukan satu lagi bukti baharu menunjukkan kehidupan mungkin wujud di Planet Marikh.
Perseverance baru-baru ini merakam gambar formasi batuan berlapis yang terletak di Kawah Jezero dan kumpulan pakar berpendapat, pembentukan formasi batuan itu disebabkan oleh aliran air.
Imej batuan tersebut dihantar ke Bumi pada minggu lepas untuk diteliti, sekali gus mengukuhkan teori terdapat kehidupan di Marikh sebelum ini.
Berkongsi imej itu dalam Twitter, NASA menjelaskan, batuan berlapis tersebut kebiasaannya terbentuk dalam air dan boleh memberi petunjuk jenis hidupan yang ada di dalam air tersebut.
Perkongsian itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang kebanyakannya tidak sabar untuk mengetahui jika benar Marikh pernah mempunyai hidupan sebelum ini.
Seorang pengguna Twitter bertanya, adakah lapisan batuan itu boleh mengandungi fosi seperti batuan di Bumi?
Ada juga pengguna Twitter berharap pasukan penyelidik akan menemukan fosil tumbuh-tumbuhan bagi menyokong teori kehidupan di Marikh.
Perseverance mendarat di Marikh pada 18 Februari tahun ini dengan tujuan mengumpul sampel untuk mengkaji jika terdapat hidupan di planet tersebut.
Kesemua sampel yang dikumpul akan dibawa pulang ke Bumi seawal tahun 2031 dan dihantar ke sejumlah makmal di seluruh dunia untuk diperiksa.
Setakat ini, kenderaan robotik tersebut sudah mengumpul dua sampel dari Marikh.