TOKYO: Dua banduan yang menunggu hukuman mati di Jepun memfailkan saman ke atas negara itu kerana mendakwa amalan memaklumkan hukuman hanya beberapa jam sebelum dilaksanakan menyebabkan tekanan psikologi.
Plaintif memfailkan saman di mahkamah daerah di Osaka dengan menuntut pampasan 22 juta yen (RM806,906).
Plaintif mendakwa amalan itu menyalahi undang-undang kerana tidak memberi masa kepada banduan untuk memfailkan bantahan serta menuntut amalan itu dipinda kerana dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan.
Peguam yang mewakili seorang plaintif menjelaskan tiada undang-undang yang mewajibkan banduan dimaklumkan mengenai hukuman mati semasa hari pelaksanaan serta amalan itu bertentangan dengan kod jenayah Jepun.
“Banduan hukuman mati ketakutan setiap pagi kerana mungkin menjadi hari terakhir mereka setiap kali mendengar bunyi tapak kasut warden penjara,” katanya.
Jepun merupakan antara negara maju yang masih mengekalkan pelaksanaan hukuman mati dengan lebih 100 banduan masih menunggu pelaksanaan hukuman tersebut.
Hukuman mati kebiasaannya dijalankan dengan hukuman gantung di negara itu.
Proses hukuman akan dilaksanakan dalam tempoh yang panjang selepas hukuman dijatuhkan di mahkamah.
Pihak berkuasa memaklumkan hukuman gantung tersebut dimaklumkan dalam tempoh yang singkat dan diamalkan sejak berdekad lalu.-AFP