VIENNA: Canselor Austria, Alexander Schallenberg bercadang untuk melaksanakan perintah berkurung minggu depan terhadap individu yang belum menerima suntikan vaksin, susulan kes Covid-19 semakin meningkat di negara itu.
Austria mengambil beberapa langkah sejak kebelakangan ini dalam usaha membendung penularan virus tersebut serta menggalakkan lebih ramai rakyat mendapatkan vaksin.
Isnin lalu, negara itu memperkenalkan peraturan baharu bagi menghalang individu yang tidak divaksin yang belum pulih daripada jangkitan wabak mengunjungi restoran, hotel, salon dandanan rambut serta acara awam yang besar.
Schallenberg berkata, individu yang tidak divaksinasi akan berdepan dengan sekatan baharu jika jumlah jangkitan wabak terus meningkat.
Jelasnya, Khamis lalu, sebanyak 760 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh tujuh hari sebelumnya, sekali gus menyaksikan tiga kali ganda kes berbanding negara jiran, Jerman.
Beliau malah memberitahu langkah sekatan terhadap golongan yang tidak divaksinasi ‘tidak dapat dielakkan’ dan mereka bakal berdepan musim sejuk dan perayaan Krismas yang ‘tidak selesa’.
“Saya tidak nampak mengapa dua pertiga penduduk harus kehilangan kebebasan disebabkan satu pertiga penduduk masih teragak-agak mengambil vaksin,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Bregenz, barat Austria, Khamis lalu.
Menurut Schallenberg, pihak berkuasa turut mempertimbangkan mandat vaksin bagi beberapa kumpulan profesional.
Hal ini disebabkan kadar vaksinasi negara sangat memalukan kerana hanya mencatatkan 65 peratus daripada populasi penduduk yang sudah menerima suntikan sepenuhnya.
Wilayah Austria di bahagian utara adalah paling teruk terjejas di negara itu dengan hampir 1,200 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk sepanjang minggu lalu.
Gabenor, Thomas Stelzer membuat perancangan sekatan terhadap penduduk yang tidak divaksin dengan syarat terdapat asas undang-undang daripada Kerajaan Persekutuan.-AP