AUKUS meterai perjanjian rasmi, China 'makin panas' - Utusan Malaysia

AUKUS meterai perjanjian rasmi, China ‘makin panas’

MENTERI Pertahanan Australia, Peter Dutton menandatangani perjanjian maklumat pendorong nuklear tentera laut dengan Charge d’Affaires AS, Michael Goldman (dua dari kanan) dan Pesuruhjaya Tinggi Britain, Victoria Treadell (kanan) di bangunan Parlimen di Canberra. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia secara rasmi memulakan program bagi melengkapkan angkatan tentera laut negara itu dengan kapal selam berkuasa nuklear menerusi pakatan pertahanan baharu dengan Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pertahanan, Peter Dutton menyertai diplomat AS dan Britain dengan memeterai perjanjian yang membenarkan pertukaran maklumat berkaitan pendorong nuklear laut yang sensitif antara negara berkenaan.

Ia merupakan perjanjian pertama berkaitan teknologi itu yang ditandatangani secara terbuka sejak Australia, Britain dan AS mengumumkan pembentukan pakatan pertahanan dinamakan AUKUS.

Pakatan itu ditubuhkan bagi menghadapi ketegangan strategik di Pasifik yang mana persaingan AS-China semakin meningkat.

Presiden AS, Joe Biden dalam satu kenyataan berkata, perjanjian tersebut akan mewujudkan kerjasama yang bakal meningkatkan lagi kedudukan pertahanan bersama negara terlibat.

Beliau berkata demikian menjelang majlis menandatangani perjanjian di Canberra yang dihadiri oleh Dutton, Charge d’Affaires AS, Michael Goldman dan Pesuruhjaya Tinggi Britain, Victoria Treadell.

Dibawah perjanjian AUKUS, Australia akan memperoleh lapan kapal selam berkuasa nuklear yang canggih dan mampu melakukan misi jarak jauh secara tersembunyi.  

Ia juga menawarkan perkongsian maklumat siber, kecerdasan buatan (AI), kuantum dan keupayaan dasar laut yang tidak ditentukan. 

Perjanjian itu membangkitkan lagi kemarahan China yang menyifatkannya sebagai ancaman ‘sangat tidak bertanggungjawab’ terhadap kestabilan di rantau tersebut.  

Persetujuan itu turut mencetuskan perbalahan sengit dengan Perancis yang menyaksikan kontrak rundingan sebelum ini untuk menjual kapal selam diesel-elektrik dengan Australia yang bernilai AS$90 bilion (RM376 bilion) terbatal. 

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan perjanjian itu dibuat demi kepentingan negaranya dan pihaknya sedar ia akan menimbulkan kemarahan segelintir negara.

Jumaat lalu, penyelaras Indo-Pasifik White House, Kurt Campbell berkata, kerjasama AS yang meluas dengan rakan kongsinya akan menyebabkan China berasa marah

Presiden China, Xi Jinping menerusi satu mesyuarat secara maya bersama Biden menjelaskan usaha Washington untuk meningkatkan hubungan dengan sekutunya hanya mewakili pemikiran Perang Dingin.  

Campbell menyifatkan AUKUS sebagai tindak balas terhadap peningkatan ketenteraan China yang merupakan antara terbesar pada zaman moden ini.

Campbell juga merujuk India dan Vietnam sebagai rakan kongsi ‘kritikal’ bagi strategi serantau AS pada masa depan. 

Menurutnya, pakatan keselamatan Quad yang dianggotai oleh AS, India, Jepun dan Australia ditubuhkan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama.

Katanya, Jepun juga bersetuju untuk menganjurkan mesyuarat pakatan Quad itu pada tahun depan.   

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, negaranya harus bekerjasama dengan rakan kongsi keselamatan AUKUS dalam bidang sistem AI dan keupayaan siber.  

“Aspek penting untuk merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka adalah dengan memastikan penglibatan negara-negara berfikiran sama dengan rantau Indo-Pasifik bagi jangka panjang.  

“Dari sudut ini, saya mengalu-alukan pembentukan AUKUS. Adalah amat penting untuk melaksanakan pelbagai usaha bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik,” ujarnya. – REUTERS/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya