AS semakin bimbang dengan Rusia - Utusan Malaysia

AS semakin bimbang dengan Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: White House memberi amaran kepada sekutunya di Eropah mengenai tentera Rusia yang akan melakukan pencerobohan di Ukraine pada bila-bila masa.

Amerika Syarikat (AS) melahirkan kebimbangan mengenai Rusia yang akan mengambil tindakan agresif berhubung ketegangan yang berlaku di sempadan Belarus-Poland serta keadaan yang semakin lemah dengan bekalan gas asli ke Eropah.

Bloomberg melaporkan mengenai kebimbangan operasi ketenteraan yang sebahagiannya dicetuskan akibat pengumpulan senjata api Rusia di kawasan sempadan Ukraine.

Rusia menafikan tuduhan tersebut dan sebaliknya berang dengan kapal perang AS di Laut Hitam yang dilaporkan berlayar terlalu dekat dengan wilayahnya.

Sumber terdekat Kremlin memaklumkan Rusia sebenarnya tidak mahu mencetuskan perang dengan Ukraine, tetapi menyatakan kesediaan sekiranya perlu.

Jelasnya, sekiranya Rusia melakukan serangan secara terang-terangan hanya menyebabkan kemarahan penduduk di Ukraine serta masyarakat global.

Disebabkan itu, Rusia dikatakan mempunyai rancangan untuk bertindak balas terhadap ‘provokasi’ oleh negara yang lebih kecil itu.

Beberapa minggu lalu, Kerajaan Rusia dilaporkan memindahkan kelengkapan ketenteraan sejauh 250 kilometer ke sempadan negara itu dengan Ukraine.

Rakaman imej satelit menunjukkan kelengkapan Rusia termasuk meriam, kereta kebal tempur dan kenderaan tempur bergerak di padang latihan, kira-kira 300 kilometer dari kawasan sempadan Ukraine.

RUSIA LANGGAR PERJANJIAN

Sumber CNN mendedahkan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Bill Burns bergegas ke Moscow dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Difahamkan, Burns berkongsikan mengenai kebimbangan serius AS terhadap peningkatan ketenteraan Rusia di kawasan sempadan tersebut.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, pihaknya bimbang dengan laporan aktiviti ketenteraan Rusia yang luar biasa berhampiran Ukraine.

“Kami memantau rantau ini dengan sangat teliti seperti yang selalu dilakukan. Kami akan terus berunding dengan sekutu rapat mengenai isu ini.

“Sebarang tindakan agresif akan menjadi kebimbangan besar kepada AS. Kami akan terus menyokong penyelesaian diplomatik terhadap konflik di timur Ukraine,” tegasnya.

Operasi Angkatan Bersama Ukraine (JFO) iaitu sebuah pasukan tentera yang ditubuhkan pada 2018 bagi mempertahankan negara itu daripada konflik berterusan di wilayah Donbas, menuduh Rusia melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak lima kali dalam tempoh 24 jam, Isnin lalu.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam Facebook, JFO menuduh Rusia melakukan ‘pencerobohan bersenjata’, walaupun Kremlin secara konsisten menafikan penglibatan dalam konflik itu.

Ketegangan di Eropah tercetus akibat kekurangan sumber gas apabila syarikat Gazprom dari Rusia yang merupakan pembekal tenaga utama benua itu bertindak mengurangkan aliran keluar harian gas, Oktober lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Putin sengaja mencetuskan krisis gas dan menggesa Eropah Barat bertindak pantas dengan hukuman.

Namun Gazprom meningkatkan pengeluaran ke Eropah awal minggu ini, selepas stok simpanan Rusia sudah penuh.

KRISIS PELARIAN RUMITKAN KEADAAN

Walaupun begitu, krisis pelarian yang semakin meningkat di sempadan Poland dan Rusia akan merumitkan lagi keadaan dan boleh bertambah lebih teruk menjelang musim sejuk.

Kebanyakan bekalan minyak dari Rusia ke Eropah melalui Belarus dan Poland.

Sejak minggu lalu, negara demokrasi barat menuduh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko ‘mempersenjatai’ pendatang dari Iraq dan Asia Barat dengan membenarkan pelarian terbang ke negaranya sebelum menceroboh negara Kesatuan Eropah.

Keadaan itu menimbulkan ketegangan dahsyat di wilayah pendatang yang mendapat layanan kejam daripada tentera di kedua-dua belah negara, sehingga ada yang mati beku.

Sebagai tindak balas kepada ancaman sekatan yang diperluaskan, Lukashenko mengancam untuk menutup bekalan minyak yang datang dari Rusia ke seluruh Eropah.-CNN/Agensi

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya