GENEVA: Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut bukti keberadaan pemain tenis wanita, Peng Shuai selepas dilaporkan hilang sejak 2 November lalu.
Shuai, 35, gagal dikesan sejak membuat tuduhan serangan seksual yang dilakukan oleh bekas Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli.
Bintang tenis, badan sukan, pihak kerajaan dan pertubuhan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan terhadap nasib wanita itu selepas dia turut membuang hantaran di Weibo yang mendakwa Gaoli memaksa dirinya mengadakan hubungan seks.
Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki berkata, pentadbiran Joe Biden mahu China memberikan ‘bukti bebas yang boleh disahkan’ mengenai Shuai serta melahirkan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap nasib bekas pemain beregu teratas dunia itu.
AS menggesa siasatan telus sepenuhnya terhadap dakwaan Shuai.
Jurucakap Hak Asasi Manusia PBB, Liz Throssell berkata, adalah penting mempunyai bukti mengenai keberadaan dan keadaan atlet wanita itu.
“Kami menyeru supaya siasatan dijalankan dengan penuh ketelusan terhadap dakwaan serangan seksual itu,” katanya.
Pemain tenis dunia termasuk Naomi Osaka, Serena Williams dan Novak Djokovic turut menyuarakan sokongan terhadap atlet China itu.
“Seluruh komuniti sukan tenis perlu membela nasib pemain itu dan memastikan ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat,” kata Persatuan Tenis Wanita.-AGENSI