POMPEII: Sekumpulan ahli arkeologi menemukan sebuah bilik zaman kuno yang menempatkan golongan hamba untuk mereka menjalani kehidupan harian di bandar Pompeii, Itali.
Proses penggalian vila yang ditimbus lahar letusan gunung berapi bersejarah itu menemukan sebuah asrama dan bilik simpanan sempit berserta katil yang disifatkan seperti perabot Ikea kerana boleh dilaras.
The Telegraph menyamakan penemuan purba itu sebagai ‘model Ikea untuk dunia purba’ kerana papan kayu boleh laras yang boleh diubah bergantung kepada saiz individu yang tidur di atas katil.
Katil itu mempunyai ukuran hampir 1.8 meter dan 1.2 meter sekali gus menunjukkan rumah itu didiami oleh sebuah keluarga dengan seorang kanak-kanak
Menteri Kebudayaan Itali, Dario Franceschini berkata, penemuan itu adalah penting bagi meningkatkan pengetahuan tentang kehidupan seharian penduduk Pompeii.
Bilik itu ditemukan di sebuah vila di pinggir bandar Pompeii di Civita Giuliana yang hanya beberapa langkah dari tempat ahli arkeologi menemukan kereta mayat yang masih terpelihara.
Ruang itu hanya mempunyai sebuah tingkap tinggi dan tidak mempunyai sebarang perhiasan dinding serta mengandungi tiga katil yang diperbuat daripada kayu.
Pengarah Tapak Arkeologi Pompeii, Gabriel Zuchtriegel berkata, penemuan berkenaan memberi bayangan golongan gamba yang bekerja di kawasan itu tidur di bilik tersebut pada waktu malam. – AGENSI