JOHANNESBURG: Situasi huru-hara melanda Afrika Selatan selepas pengumuman varian Covid-19 Omicron dikesan pertama kali di negara itu.
Penemuan varian koronavirus baharu itu turut mengakibatkan sebahagian besar negara melarang penerbangan dari Afrika Selatan, selain mencetuskan kebimbangan perintah berkurung ketat bakal dilaksanakan secara besar-besaran.
Penerbangan dari Afrika Selatan ke Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Eropah dibatalkan sejurus selepas saintis secara rasmi mengumumkan penemuan varian tersebut.
“Situasi di sini amat huru-hara, tiada sesiapa yang dapat menjelaskan perkara yang mungkin ketika ini.
“Keadaan berubah dari semasa ke semasa dan kami dibiarkan dalam kesusahan,” kata seorang pengembara yang terkandas di Lapangan Terbang OR Tambo di Afrika Selatan.
Setakat ini, varian Omicron sudah ditemukan di beberapa negara termasuk Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda, Perancis, Kanada dan Afrika Selatan.
Kes jangkitan Covid-19 harian di negara ini juga meningkat 13 kali ganda sejak awal November dengan 3,220 kes baharu dilaporkan pada Sabtu lalu.
Sebanyak lapan orang meninggal dunia akibat Covid-19 sekaligus menjadikan jumlah kematian kepada 89,791 kes sejak pandemik bermula.
Kira-kira 600 penumpang dalam dua penerbangan KLM dari Johannesburg ke Amsterdam dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Schiphol selepas keadaan panik berlaku berikutan pengumuman itu.
“Amat naif bagi negara maju mempercayai bahawa penularan varian ini boleh dihentikan dengan larangan perjalanan dari semua negara Afrika.
“Virus itu sudah menjangkiti masyarakat daripada individu yang tidak pernah pergi atau bersentuhan dengan sesiapa sahaja dari Afrika Selatan.
“Hakikatnya, virus itu ditemukan di sini dan itu tidak semestinya menjadikannya sebagai varian Afrika Selatan,” kata pakar vaksin Afrika Selatan, Shabir Madhi.
Menurut Madhi, Afrika Selatan mempunyai kemudahan penjujukan Covid yang terbaik di dunia berdasarkan pengalaman dalam merawat penyakit batuk kering dan HIV.
“Kami sudah lama mendahului perkara ini namun kami masih menjadi ‘mangsa kejayaan’,” ujarnya.
Sekatan yang dikenakan terhadap semua penerbangan dari negara ini yang dilakukan secara tiba-tiba memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan, menyaksikan pembatalan tempahan tiket meningkat mendadak.
“Saya benar-benar terkejut. Pada pagi Jumaat lalu, semuanya baik-baik sahaja dan kini dalam tempoh 48 jam, sekatan penerbangan dikenakan dan kami menyaksikan banyak tempahan dibatalkan,” kata pemilik rumah persinggahan Mziki Safari di wilayah Barat Laut, Manuela Pallamer.
Sektor pelancongan Afrika Selatan kehilangan kira-kira AS$10 bilion (RM42.8 bilion) dalam tempahan pada 2020 disebabkan kemerosotan pengunjung asing susulan pandemik Covid-19.
Malah, sektor itu dianggarkan bakal mengalami kerugian kira-kira AS$10 juta (RM42.8 juta) setiap minggu apabila penerbangan digantung daripada pasaran utama pelancongan luar negara.
“Kita mempunyai pasaran pelancongan tempatan yang baik namun jika semua pelancong asing membatalkan tempahan, maka sektor ini akan musnah,” kata Pallamer.
LOBI TARIK BALIK SEKATAN
Usaha melobi untuk menarik balik larangan bermula selepas kerajaan Afrika Selatan dan sektor swasta mengecam dan mempersoalkan mengapa mereka ‘dihukum hanya kerana memaklumkan perkara sebenar’.
Menurut The Federated Hospitality Association of Southern Africa (FEDHASA), pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Afrika Selatan untuk menarik balik larangan berkenaan atau mencabarnya di mahkamah.
“Kami tidak akan membiarkan isu ini berlaku kepada kami. Sebagai sebuah industri, kami akan bekerjasama dengan kerajaan dan badan industri lain untuk mencabar perkara ini secara sah.
“Kami percaya dapat memberi penjelasan saintifik kepada UK dan negara-negara lain bahawa tindakan yang dilakukan ketika ini tidak wajar dan tidak masuk akal,” kata Pengerusi FEDHASA, Rosemary Anderson. – AGENSI