JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengecam sebahagian besar negara yang mengenakan larangan perjalanan terhadap negaranya berhubung penemuan varian Covid-19 Omicron.
Lapor BBC, Ramaphosa berkata, beliau amat kecewa dengan tindakan negara tersebut yang dianggapnya sebagai tidak wajar dari segi saintifik.
Justeru, beliau menggesa semua negara terbabit untuk menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Afrika Selatan dan negara jirannya.
Menurut Ramaphosa, negara Afrika kini menjadi mangsa diskriminasi yang tidak adil.
“Sekatan itu tidak akan berkesan dalam menghalang penularan varian itu.
“Satu-satunya perkara boleh berlaku adalah memusnahkan lagi ekonomi negara-negara yang terkesan dan menjejaskan keupayaan mereka untuk bertindak balas dan pulih daripada pandemik,” katanya.
Dilaporkan, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) antara negara yang mengenakan sekatan perjalanan itu.
Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian kebimbangan (VOC).
Kajian awal menunjukkan varian itu mempunyai risiko jangkitan semula yang lebih tinggi. – AGENSI