CAPE TOWN: Kerajaan Afrika Selatan dengan tegas menyatakan bantahan terhadap keputusan penganjur pertandingan Ratu Cantik Afrika Selatan untuk menyertai pertandingan Miss Universe tahunan yang akan diadakan di Israel, bulan depan.
Keputusan itu dicapai selepas gesaan yang semakin meningkat terhadap Ratu Cantik Afrika Selatan, Lalela Mswane supaya memboikot pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Eilat, 12 Disember depan.
Penganjur pertandingan ratu cantik tempatan sebaliknya masih mahu Mswane yang baru dinobatkan sebagai pemenang menghadiri acara itu kerana ia bukan ‘acara yang diilhamkan dari segi politik’.
“Adalah sukar untuk memujuk penganjur pertandingan Ratu Cantik Afrika Selatan mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk mengambil bahagian dalam acara berprestij itu.
“Oleh itu, pihak kerajaan menarik balik sokongan sekiranya mereka tetap berdegil pergi berikutan ‘ketidaktegasan’ penganjur dan tidak mengendahkan nasihat,” kata Kementerian Seni dan Budaya.
Menurut pihak kementerian itu, langkah meneruskan untuk menyertai pertandingan itu hanya ‘membuktikan bencana pada masa depan terhadap kedudukan wanita dan golongan kulit hitam’.
Kerajaan Afrika Selatan menegaskan negara itu tidak akan bersekongkol dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Afrika Selatan menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan hubungan diplomatik rasmi dijalinkan pada 1995, setahun selepas berakhirnya era apartheid.
Negara itu turut menutup pejabat kedutaan di Tel Aviv dan memanggil dutanya pulang pada 2019.