SAO PAULO: Seorang doktor pembedahan plastik disiasat polis dan Lembaga Perubatan Sao Paulo selepas didakwa menyebabkan kecacatan pada muka 30 pesakit.
Lapor Daily Star, Dr. Alan Landecker dituduh ‘mencacatkan’ hidung pelanggannya sehingga menyebabkan mereka mengalami luka yang teruk pada bahagian wajah.
Bekas pesakitnya mendakwa dia menggunakan ‘amalan tidak beretika’ sehingga menyebabkan muka mereka kelihatan cacat.
Pesakit juga bertambah kecewa selepas mereka mengalami kerugian ribuan pound hasil pembedahan plastik tersebut.
Difahamkan, beberapa bekas pesakit doktor itu masih dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan kosmetik itu.
Ada pesakit yang menghabiskan duit sebanyak 40,000 pound (RM224,000) dan terpaksa menjalani tiga pembedahan lain untuk membetulkan semula struktur hidungnya dan mengambil antibiotik selepas menjalani pembedahan itu.
Seorang daripada yang dikenali sebagai Marilia Frank berkata, dia menjalani pembedahan itu sejak Mei lalu dan apabila menanggalkan pembalut terakhir, dia mendapati hidungnya rosak.