MEXICO CITY: Sebuah trak merempuh enam kenderaan selepas melalui tol dalam satu kemalangan di tengah Mexico semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 19 maut dan tiga cedera.
Brek trak tersebut yang membawa muatan berupa bahan menghasilkan shampu dilaporkan gagal berfungsi sebelum merempuh kenderaan lain di lebuh raya yang menghubungkan Mexico City dan negeri Puebla.
Kemalangan itu juga mencetuskan kebakaran besar di lebuh raya berkenaan.
Pemandu trak tersebut merupakan antara 19 orang yang maut dalam kemalangan ngeri itu.
Video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan beberapa kenderaan terbakar, manakala sebahagian yang lain remuk.
Sementara itu, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala pengguna lebuh raya menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi mereka susulan insiden tersebut. – AP