LONDON: Penduduk dunia didapati masih menggunakan kata laluan yang mudah seperti ‘123456’, ‘qwerty’ dan ‘password’.
Lapor Daily Mail, dapatan itu diperoleh berdasarkan kajian terkini oleh NordPass menerusi laporan Most Common Passwords yang mendapati penggunaan kata laluan sangat berbeza di setiap lokasi dan jantina yang berbeza.
Lebih memeranjatkan apabila laporan menunjukkan kebanyakan pengguna masih menggunakan nama sendiri sebagai kata laluan selain pasukan sukan kegemaran, jenama kereta dan nama kumpulan.
Laporan itu disaring dan disusun dengan kerjasama penyelidik bebas.
Pakar Keselamatan Siber dari ESET, Jake Moore berkata, hasil kajian mendapati orang ramai masih tidak memahami risiko apabila menggunakan kata laluan yang lemah.
Beliau mencadangkan kepada pengguna supaya menggunakan pengurus kata laluan yang boleh menetapkan kata laluan berbeza untuk setiap halaman yang dilawati tanpa perlu mengingati butirannya.
Dianggarkan seramai 103 juta penduduk dunia menggunakan kata laluan 123456, manakala, 123456789 digunakan oleh 46 juta pengguna dan 12345 dipakai oleh 32 juta orang.
Kata laluan lain dalam carta 10 teratas paling banyak digunakan adalah qwerty, password dan 111111.
Kajian turut mendedahkan adalah sangat mudah bagi penggodam dengan hanya mengetahui lokasi dan jantina yang dapat membantu memecahkan kata laluan seseorang.
Sebagai contoh, dapatan kajian mendapati secara keseluruhannya golongan wanita lebih gemar menggunakan kata-kata positif dan ayat cinta sebagai kata laluan seperti ‘sunshine’ atau ‘iloveyou.