BOGOTA: Seramai 11 orang terbunuh selepas tanah runtuh akibat hujan lebat melanda wilayah Narino, Colombia yang berdekatan sempadan Ecuador, lapor Reuters.
Agensi Bantuan Bencana Negara (UNGRD) memaklumkan, tanah runtuh menyebabkan 10 penduduk mengalami kecederaan, sementara 15 ke 20 orang dilaporkan masih hilang.
Pengarah UNGRD, Eduardo Jose Gonzalez mengarahkan usaha mencari dan menyelamatkan dijalankan.
Katanya, operasi menyelamat terpaksa ditangguhkan kerana berisiko menyebabkan berlaku tanah runtuh lain akibat hujan lebat.
Namun, operasi tersebut disambung semula pagi tadi.
Tanah runtuh sering berlaku di pergunungan Colombia, terutamanya semasa musim hujan dan di kawasan perumahan yang mempunyai jalan raya sempit yang dibina di lereng Bukit Andes.