LONDON: Seorang warga emas di England terpaksa menjual cenderamata mendiang Puteri Diana miliknya di Facebook Marketplace kerana tidak mampu membayar bil elektrik rumahnya.
Lapor Mirror, Sharon Shachar, 62, sebenarnya mahu menyampaikan memorabilia bernilai itu kepada anak dan cucunya namun dia terpaksa mengambil keputusan sukar disebabkan pandemik Covid-19.
Shachar tidak mampu membayar bil elektriknya selepas kerajaan menghapuskan kenaikan 20 pound (RM113.73) seminggu untuk bantuan Universal Credit.
Bekas pekerja hospital itu kini menjual barang-barang miliknya sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.
Barang dijual itu termasuk cenderamata pinggan keluaran khas Hari Perkahwinan Putera Charles dan mendiang Puteri Diana serta memorabilia diraja yang lain.
“Saya tidak mampu menampung kos perbelanjaan makan dan minum. Jadi saya terpaksa menjual barang di aplikasi berkenaan untuk mendapat wang tambahan agar boleh membayar bil gas dan elektrik.
“Saya juga menjual beberapa surat khabar lama yang menampilkan berita Puteri Diana pada harga 40 pound (RM227.47). Saya mahu menyimpannya untuk cucu namun saya amat memerlukan wang,” katanya.
Menurut Shachar, dia mencari pekerjaan hampir setiap hari namun sering ditolak oleh syarikat. – AGENSI