JAKARTA: Polis Indonesia merekodkan peningkatan antara 35 hingga 40 peratus jumlah kenderaan yang menuju ke pusat bandaraya Jakarta hari ini.
Peningkatan jumlah kenderaan itu berlaku selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan Covid-19 di beberapa wilayah semalam.
Jurucakap polis Metro Jaya, Argo Wiyono berkata, banyak kenderaan menuju ke pusat beli belah memandangkan golongan kanak-kanak sudah dibenarkan memasuki banyak premis perniagaan, termasuk panggung wayang.
Argo juga menyatakan jumlah kenderaan ke pusat bandaraya lebih tinggi berbanding kawasan rekreasi sekitar.
“Kira-kira 25 peratus sahaja kenderaan menuju ke pusat rekreasi, yang lain semua serbu pusat beli belah,” katanya kepada Kompas.com.
Jakarta kini berada di fasa kedua sekatan Covid-19.