BOGOTA: Pihak berkuasa Colonbia terpaksa memandulkan sejumlah badak air milik raja dadah dunia, Pablo Escobar selepas haiwan itu membiak tanpa kawalan.
Menurut organisasi perlindungan haiwan, Cornare, Escobar pada awalnya memelihara dua ekor badak air iaitu betina dan jantan, selain zirafah, kuda belang dan kangaru.
Namun, selepas kematiannya, kesemua haiwan berkenaan dijual kecuali badak air yang kini semuanya berjumlah 80 ekor.
Jelas Cornare, 24 ekor badak air sudah dimandulkan menggunakan ubat-ubatan bagi mengawal pembiakan haiwan itu.
Sebanyak 11 ekor lagi badak air dimandulkan dengan kaedah konvensional.
Jurucakap Cornare, David Echeverri berkata, kawanan badak air tersebut membahayakan golongan nelayan di kawasan sekitar, selain menjejaskan ekosistem fauna yang lain.
Selepas kematian Escobar pada 1993, berlaku persengketaan mengenai pemilikan ladang pertaniannya yang turut menempatkan taman haiwan yang terletak kira-kira 400 kilometer ke barat laut Bogota.
Tidak lama kemudian, taman haiwan tersebut yang dinamakan Hacienda Napoles akhirnya dibuka kepada orang awam.