BOGOTA: Kerajaan Ecuador bercadang memberi pengampunan kepada 2,000 banduan ketika negara itu berusaha untuk mengurangkan kesesakan di pusat tahanannya.
Ia susulan insiden rusuhan penjara yang paling teruk berlaku di Ecuador pada minggu ini.
Lapor Al Jazeera, Pengarah Badan Pengurusan Penjara SNAI, Bolivar Garzon berkata, kerajaan akan memberi keutamaan kepada banduan terdiri daripada golongan tua, wanita, hilang upaya dan menderita penyakit kronik yang boleh membawa maut.
Sekurang-kurangnya 118 tahanan maut dan 79 lagi cedera dalam rusuhan penjara di Penitenciaria del Litoral, selatan bandar Guayaquil.
Menurut Garzon, penjara di negara itu kini menempatkan kira-kira 39,000 banduan.
Jelas beliau, rusuhan yang berlaku pada Selasa lalu dicetuskan oleh pergaduhan untuk berkuasa oleh beberapa kumpulan jenayah terancang. – AGENSI