MOSCOW: Rusia akan terus membangunkan program ‘tentera masa depan’ termasuk robotik dan exoskeleton.
Perkara itu didedahkan Panglima Tentera Darat Rusia, Jeneral Oleg Salyukov yang menjelaskan sistem itu direka bagi meningkatkan keberkesanan anggota tempur.
Katanya, program itu dikenali sebagai Ratnik turut mengandungi pesawat tanpa pemandu (UAV) mini dan mikro.
“Pembangunan pakaian ‘tentera masa depan’ dilakukan sejak tahun lalu dengan perusahaan industri domestik untuk memasukkan subsistem ‘robotik’ baharu sebagai sebahagian daripada pakaian tempur seorang tentera,” katanya seperti dilaporkan akhbar Krasnaya Zvezda.
Salyukov turut mendedahkan Kalashnikov AK-12 dalam proses dihantar ke unit tentera bagi menggantikan senapang standard AK-74.
Jelasnya, peralatan senjata Ratnik turut dilengkapi topi keledar termal dan keupayaan penglihatan malam dan sistem komunikasi moden.
Ia juga dilengkapi sistem pemanas, topeng gas dan alat perubatan.
Tahun lalu, dilaporkan sebanyak 300,000 peralatan perang Ratnik sudah dibekalkan.