JAKARTA: Penerbangan Wings Air dari Lombok ke Bima yang membawa seramai 62 penumpang dilaporkan berpatah balik selepas berlegar-legar di ruang udara negara itu selama 20 minit.
Lapor Kompas, penerbangan IW1878 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Lombok selepas seorang penumpang didakwa menarik tuas pintu kecemasan pesawat berkenaan.
Satu video mengenai kejadian itu dimuat naik oleh seorang penumpang menerusi akaun Facebook dikenali sebagai Dewi Ratna Muchlisa.
Rakaman video berdurasi sembilan minit dan 22 saat menunjukkan suasana selepas pesawat Wings Air berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Lombok.
Individu dalam video tersebut mendakwa kejadian itu disebabkan oleh salah seorang penumpang yang sedang duduk di bahagian depan memegang tuas pintu kecemasan sehingga ia terbuka sedikit.
Pegawai Perhubungan Awam Lapangan Terbang Lombok, Arif Haryanto mengesahkan pesawat Wings Air berpatah balik dan membuat pendaratan kecemasan.
Katanya, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Lombok pada pukul 4.06 petang (waktu tempatan) dan berlegar di ruang udara selama 20 minit sebelum berpatah balik dan mendarat pada pukul 4.26 petang (waktu tempatan).
“Juruterbang memutuskan untuk kembali semula ke Lapangan Terbang Lombok disebabkan masalah tekanan udara,” jelas Arif menerusi kenyataan.
Menurut beliau, pesawat itu mendarat dengan selamat dan semua penumpang dipindahkan ke bilik menunggu di lapangan terbang pada pukul 4.47 petang (waktu tempatan).
Jelasnya, penerbangan itu terpaksa ditangguhkan dan penumpang akan berlepas semula pada Khamis.
Berhubung dakwaan tuas pintu kecemasan pesawat ditarik oleh penumpang, Arif tidak memberikan penjelasan lebih lanjut.
Katanya, masalah itu di bawah bidang syarikat penerbangan. – AGENSI