TRIPOLI: Kira-kira 3,000 pelarian dan pendatang ‘berkampung’ di hadapan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini sejak tiga minggu lalu bagi menggesa proses pemindahan dari negara ini dilakukan segera.
Hal ini kerana, pihak berkuasa Libya didakwa semakin agresif apabila menahan lebih ramai pelarian dan pendatang, selain menyumbat mereka dalam pusat tahanan dan sesak serta daif.
Keadaan itu juga menyebab Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara operasi di Tripoli sehingga keadaan reda.
“Tiada rawatan perubatan, tiada makanan, tiada air dan juga tandas. Kami berharap UNCHR akan membawa kami keluar dengan selamat ke negara lain,” kata seorang pendatang dari Eritrea yang enggan namanya didedahkan.
Desakan itu menyaksikan sejumlah protes solidariti diadakan di beberapa negara di United Kingdom (UK), Sweden, Itali dan Kanada.
Lebih 5,000 pendatang dan pelarian ditahan oleh pihak berkuasa Libya sejak 1 Oktober lalu dan dimasukkan ke dalam pusat tahanan.
Jumlah itu termasuk 540 wanita dengan 30 daripadanya hamil dan kebanyakannya mendakwa mereka ditahan dalam keadaan paling teruk dan diseksa.
Pada 8 Oktober, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh apabila ribuan tahanan meninggalkan kem pelarian Ghot Shaal dan beberapa saksi memberitahu, tembakan itu dilepaskan oleh kumpulan bersenjata, bukannya pihak berkuasa Libya.
Seorang lagi pelarian dari Eritrea yang kini bersembunyi bersama keluarganya memaklumkan, sindiket penyeludupan manusia mengenakan bayaran antara AS$1,500 (RM6,227) sehingga AS$2,000 (RM8,303) untuk masuk ke Itali atau Malta melalui Laut Mediterranean.
“Ramai dalam kalangan kami cuba keluar dari Libya menggunakan jalan laut kerana kami tidak lagi percaya dengan jalan yang didakwa selamat oleh UNCHR,” ujarnya.
Jurucakap UNCHR Tripoli, Tarik Argaz menyatakan, agensi itu mengambil maklum tentang keadaan pelarian dan pendatang di Tripoli ketika ini.
“Ramai yang terjejas akibat tindakan kekerasan pihak berkuasa Libya apabila rumah mereka dirobohkan, selain disumbat dalam pusat tahanan yang sesak,” jelasnya.
Golongan pelarian di negara ini berharap mereka akan dibawa keluar ke negara selamat di Eropah dan Amerika Utara biarpun tawaran suaka yang ditawarkan sangat terhad.