NEW YORK: Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) berjaya melakukan pemindahan buah pinggang babi ke manusia buat pertama kali dalam sejarah perubatan.
Lapor Daily Mail, prosedur yang dilakukan oleh pasukan pakar bedah di NYU Langone Health di New York menandakan ‘langkah signifikan’ dalam penggunaan organ binatang bagi menyelamatkan nyawa manusia.
Pembedahan itu melibatkan penggunaan gen babi yang diubah sehingga tidak mengandungi molekul yang diketahui akan berlaku penolakan segera oleh tubuh manusia.
Penerima adalah pesakit yang mempunyai kegagalan fungsi bahagian otak dengan tanda-tanda kegagalan buah pinggang.
Pihak keluarga akhirnya bersetuju untuk menjalani pembedahan percubaan itu sebelum mesin bantuan pernafasan ditanggalkan.
Pembedahan selama dua jam itu diketuai oleh Pakar Bedah Pemindahan Organ, Dr. Robert Montgomery.
Katanya,selama tiga hari, ginjal baharu dicantumkan pada saluran darah pesakit bagi memudahkan pakar melakukan pemerhatian dan mengambil sampel biopsi.
Beliau menjelaskan hasil ujian dilakukan mendapati buah pinggang yang dipindahkan kelihatan cukup normal.
Penyelidik bekerja keras selama beberapa dekad mengkaji mengenai kemungkinan penggunaan organ haiwan ke tubuh manusia.
Di United Kingdom, lebih 6,100 pesakit menunggu giliran menjalani pembedahan pemindahan organ, termasuk 4,584 pesakit yang menunggu mendapatkan ginjal.
United Network for Organ Sharing melaporkan hampir 107,000 orang menunggu pembedahan pemindahan organ termasuk lebih 90,000 menunggu giliran mendapatkan buah pinggang di AS dengan tempoh menunggu secara purata adalah selama tiga ke lima tahun.