KARANGANYAR: Sepasang kekasih memilih untuk menyanyikan lagu memperingati lambang negara Indonesia, iaitu Garuda Pancasila di khalayak ramai bagi mengelak disaman akibat tidak memakai pelitup muka.
Dalam kejadian yang berlaku di Pasar Tawangmangu, pasukan polis melakukan rondaan dan memberhentikan motosikal yang dinaiki pasangan kekasih tersebut.
Hal ini kerana, motosikal tersebut tidak mempunyai nombor plat dan mereka juga tidak mengenakan pelitup muka.
Anggota polis, Diki memberitahu, dia memberi pilihan kepada pasangan itu sama ada disaman atau menyanyikan lagu Garuda Pancasila.
“Mereka memilih untuk nyanyi lagu tersebut dan saya minta mereka lakukannya dengan penuh semangat dan suara yang kuat,” katanya.
Pasangan itu diarahkan menghadap orang ramai dan mula menyanyi, walaupun mereka tidak ingat sepenuhnya lirik lagu berkenaan.
Jelas Diki, pasangan itu kemudiannya ditunjukkan lirik lagu tersebut dan diminta menyanyikannya dengan betul.
“Kami meminta mereka menyanyikannya sebanyak tiga kali kerana tidak hafal,” ujarnya.