LONDON: Teknologi baharu dijangka dapat membantu mengesan lokasi akhir pesawat Malaysia Airlines, MH370, bagi menyelesaikan pencarian tujuh tahun pesawat yang membawa 239 penumpang itu.
Mirror memetik The Times melaporkan, dalam misi pencarian sebelum ini, terdapat sedikit ‘petanda’ mengenai kedudukan pesawat Boeing 777 itu yang hilang di Lautan Hindi pada 2014, ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pelbagai teori kehilangan pesawat itu berlegar di alam sumber maklumat termasuk media sosial.
Pencarian terakhir dilakukan pada 2018 oleh syarikat robotik laut, Ocean Infinity menggunakan kenderaan bawah laut tanpa pemandu yang meliputi kawasan hampir 50,000 batu persegi, namun tetap gagal merungkai misteri kehilangan MH370.
Bagaimanapun menurut laporan The Times, cubaan menggunakan teknologi baharu dikatakan mampu mengesan sejarah data mengenai isyarat radio pesawat, seterusnya menjadi ‘kunci’ untuk akhirnya menemukan pesawat berkenaan.
Teknologi itu terbukti berjaya dan perintisnya percaya dapat memetakan minit akhir MH370 dengan peningkatan ketepatan ketara, mengecilkan kawasan pencarian untuk penyiasat.
Jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey menjalankan ujian menggunakan pangkalan data dalam talian yang dikenali sebagai Weak Signal Propagation Reporter (WSPR).
Teknologi itu mencatat setiap interaksi antara pesawat di udara dan isyarat yang dihantar oleh pemancar radio di daratan.
Beliau menggunakan kaedah itu untuk mengesan jalur penerbangan pesawat Orion Tentera Udara New Zealand yang mengambil gambar serpihan di permukaan laut sejurus selepas MH370 hilang.
Ia termasuk panel besar yang menyerupai komponen sayap Boeing 777 dan pakar merumuskan ia adalah sebahagian daripada MH370.
Ocean Infinity mengatakan, pihaknya mengetahui cubaan tersebut (menggunakan teknologi baharu) dan berkata: “Kami berminat untuk meneruskan pencarian sama ada hasil dari maklumat atau teknologi baharu.
TAK AKAN PUTUS ASA
Biarpun pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pencarian MH370 sudah ‘menutup buku’ dalam usaha pencarian, ramai yang masih berfikiran: “Satu hari, pesawat itu pasti akan ditemukan”.
Itulah yang ditegaskan Peter Foley, rakyat Australia yang bertanggungjawab dalam pencarian itu, kerana orang tidak akan putus asa mencarinya.
Beliau merupakan pengarah program untuk usaha antarabangsa mencari MH370 yang diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).
Ratusan orang terlibat dalam usaha mengesan di lebih 120,000 kilometer persegi di dasar laut selatan Lautan Hindi.
The Guardian melaporkan, mereka memetakan kawasan itu dan berusaha mengesan serpihan-serpihan, sebelum pencarian ditangguhkan pada awal 2017.
Dalam laporan akhirnya, ATSB menjelaskan mengenai proses saintifiknya dan meluahkan simpati terhadap keluarga serta waris 227 penumpang dan 12 anak kapal selain menyatakan kesedihan mendalam terhadap tragedi itu.
ATSB menyatakan, pihaknya amat kesal kerana masih gagal menemukan pesawat terbabit bersama penumpang dan anak kapalnya, walaupun selepas usaha pencarian luar biasa membabitkan beratus anggota profesional daripada pelbagai organisasi di seluruh dunia.
Laporan itu turut menyifatkan kehilangan pesawat itu tidak sewajarnya berlaku dalam era penerbangan moden dengan 10 juta penumpang menggunakan pesawat komersial setiap hari.
Bagaimanapun bagi Foley, MH370 tetap akan ditemukan berhampiran kawasan yang mereka cari selama ini.
“Ini adalah salah satu perkara yang akan menarik perhatian orang sehingga misteri itu diselesaikan. Ini adalah misteri yang mesti diselesaikan dan akhirnya akan diselesaikan,” katanya.
‘KITA MAHUKAN JAWAPAN’
Sementara itu, Godfrey berkata, usahanya untuk merungkai misteri MH370 berbalik kepada sesuatu yang menimpanya pada 2009 ketika beliau menempah penerbangan dari Rio de Janeiro ke Paris.
Seminggu selepas itu, pesawat yang sama, Air France 447, terhempas di Atlantik dengan 228 orang di dalamnya. Setelah hampir dua tahun mencari, bangkai pesawat ditemukan.
Ketika MH370 hilang, Godfrey mahukan jawapan, begitu juga harapan ahli keluarga dan waris penumpang dan anak kapal pesawat itu.
Sebenarnya, ramai lagi yang mahukan jawapan dan berminat untuk membantu. Pemburu serpihan pesawat, Blaine Gibson, masih mencari jawapan. Bob Ballard, yang menemukan bangkai Titanic pada 1985, juga mahu membantu.
Ketika ini, Foley mungkin sudah ‘bersara’, tetapi beliau masih beremosi dengan kisah MH370.
Namun beliau menyatakan ‘sangat berminat’ untuk melihat pencarian demi pencarian MH370 dimulakan agar pesawat itu dapat ditemukan.
“Kita (pasukan mencari) sudah melakukan kerja yang luar biasa. Semuanya ini akan menjadi lega bagi semua orang yang terlibat untuk melihat akhirnya MH370 ditemukan dan ada jawapan untuk 239 keluarga.
“Biarpun apa kaedahnya, apa jua kemajuan teknologi, MH370 pasti akan ditemukan,” katanya.