LONDON: Para saintis memberi amaran beberapa mercu tanda paling ikonik di dunia dijangka dilanda banjir menjelang 2050 sekiranya tindakan drastik mengurangkan pelepasan karbon tidak dilaksanakan.
Perkara itu dinyatakan oleh sebuah organisasi bukan berteraskan keuntungan, Climate Central menerusi kajian terbaharu mengenai sains iklim.
Lapor Daily Mail, menurut Climate Central, sebahagian besar Istana Buckingham boleh dilanda banjir.
Dalam kajian itu, pasukan penyelidik meneliti kesan kenaikan paras air laut sekiranya kadar pelepasan karbon semasa dikekalkan, dengan suhu global mencapai 3 darjah Celsius dan 1.5 darjah Celsius.
Meskipun mencapai suhu 1.5 darjah Celsius pada tahun 2050, beberapa bandar utama masih akan dilanda banjir.
“Menara Jeddah, sebuah projek pencakar langit di Arab Saudi akan tergugat sekiranya kita tidak mengurangkan pelepasan.
“Sebagai contoh, Plaza de la Catedral di Havana, Cuba yang mana pada suhu 1.5 darjah Celsius tidak akan terjejas namun sekiranya suhu mencapai 3 darjah Celsius mercu tanda bersejarah itu boleh tenggelam sepenuhnya,” jelas laporan itu.
Menurut kumpulan penyelidik, kajian itu antara lain memberi gambaran kesan bakal berlaku terhadap bandar-bandar utama di dunia akibat peningkatan paras air laut.
Ia juga menunjukkan keperluan mendesak untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Kajian disiarkan dalam Environmental Research Letters mengenal pasti lokasi yang boleh ‘diselamatkan atau hilang’ dalam jangka masa panjang akibat tindakan iklim pada masa ini.
Laporan ini didedahkan menjelang Persidangan Perubahan Iklim COP26 yang bakal berlangsung dari 1 hingga 12 November depan di Glasgow, Scotland.
Kajian itu yang dilengkapi data dan gambar dari Google Earth memberi gambaran tepat mengenai paras air pada masa akan datang di lebih 200 lokasi pantai seluruh dunia. – AGENSI