Lelaki guna ular kapak dan ular tedung untuk bunuh isteri - Utusan Malaysia

Lelaki guna ular kapak dan ular tedung untuk bunuh isteri

SOORAJ dipenjara kerana membunuh Uthra dengan melepaskan seekor ular tedung di biliknya setelah percubaan kali pertama menggunakan ular kapak gagal. - MANORAMAONLINE.COM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COCHIN: Seorang lelaki di India yang menggunakan ular tedung dan ular kapak untuk membunuh isterinya demi mewarisi harta kekayaan wanita itu, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup berganda.

Lapor Daily Mail, mahkamah menjatuhkan hukuman sedemikian dalam kes paling jarang berlaku. 

Menurut pendakwa raya, Sooraj Kumar melepaskan ular kapak spesies Russell yang amat berbisa untuk membunuh isterinya, Uthra sehingga mengakibatkan mangsa cedera dan menerima rawatan di hospital selama dua bulan.  

Ketika mangsa masih beransur pulih di rumah ibu bapanya, Sooraj mendapatkan ular tedung daripada pengendali ular dan melemparkannya ke atas isterinya yang sedang tidur.

Patukan ular berbisa itu membunuh Uthra dan Sooraj ditangkap pada tahun lalu.

Ia dipercayai buat pertama kali seseorang individu disabitkan kesalahan membunuh dengan menggunakan ular sebagai senjata di India.

Sooraj mengaku tidak bersalah namun polis menyatakan rakaman perbualan telefon menunjukkan lelaki tersebut menghubungi pengendali ular.

Malah, polis berkata, Sooraj juga menonton video mengenai reptilia itu di internet sebelum pembunuhan yang berlaku di daerah Kollam, Kerala pada Mac tahun lalu.

Pendakwa raya memaklumkan Sooraj tinggal sebilik dengan Uthra selepas ular tedung mematuk wanita itu dan menjalani rutin hariannya pada keesokan hari kononnya menyedari isterinya dipatuk ular selepas mendengar jeritan ibu mangsa.   

“Cara pelaksanaan dan rancangan jahat tertuduh untuk membunuh Uthra, isterinya yang terlantar sakit di katil, menjadikan kes itu tersenarai dalam kategori paling jarang berlaku,” kata pendakwa raya yang memohon tertuduh dikenakan hukuman mati.

Pengendali ular, Vava Suresh berkata, terdapat kemungkinan Sooraj menyebabkan ‘rasa sakit’ pada ular berkenaan sehingga mengakibatkan reptilia itu mematuk mangsa.    

Uthra berasal daripada keluarga mewah namun suaminya yang bekerja di sebuah bank, tidak begitu berada.

Ibu bapa mangsa mula berasa curiga apabila Sooraj cuba mendapatkan harta milik isterinya selepas kematian mangsa.

Perkahwinan Sooraj dan Uthra membabitkan hantaran besar termasuk kereta baharu dan wang tunai 500,000 Rupee (RM27,601). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN