MALANG: Memasak nasi goreng bagi golongan kelainan upaya menjadi cabaran berbanding mereka yang normal.
Namun, kekurangan itu tidak menghalang seorang peniaga, Dastardi menyediakan nasi goreng yang lazat dan digemari pelanggannya.
Bagi mengatasi kekurangan itu, Dastardi menghasilkan sejenis mesin yang berfungsi sebagai ‘tangan’ untuk membantunya menggoreng nasi.
Kisah Dastardi menggoreng nasi menggunakan mesin atau robot itu menjadi tular dalam media sosial selepas videonya menyediakan juadah tersebut dimuat naik oleh seorang daripada pelanggannya.
Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna aplikasi TikTok dengan nama @revan.z22 menunjukkan bagaimana Dastardi menggunakan mesin tersebut untuk menyediakan nasi goreng.
Pengguna media sosial tersebut atau nama sebenarnya, M Soleh memberitahu, nasi goreng yang disediakan Dastardi sangat lazat, selain dihidangkan dalam kuantiti yang banyak.
“Pakcik Dastardi mengalami kemalangan sehingga tangannya cedera parah dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Nasi goreng yang disediakan oleh pakcik Dastardi masih enak walaupun dimasak menggunakan mesin,” katanya.
Jelas Soleh, mesin tersebut dihasilkan daripada keluli tahan karat dan sesuai untuk menggaul nasi goreng.
Sementara itu, Dastardi gembira apabila nasi gorengnya mendapat sambutan yang menggalakkan.