LONDON: Kerajaan Britain memaklumkan anggota tentera akan menghantar bekalan petrol ke stesen-stesen minyak di seluruh United Kingdom (UK) bermula esok.
Lapor BBC, hampir 200 anggota tentera lelaki dan wanita yang mana 100 daripadanya merupakan pemandu, akan memberi sokongan sementara untuk mengurangkan tekanan di stesen minyak di tengah-tengah pembelian panik pengguna.
Langkah mengerahkan anggota tentera itu dibuat selepas berlaku kekurangan pemandu trak yang
membawa bekalan minyak, sehingga menyebabkan masalah bekalan serius bagi peruncit kerana bekalan bahan bakar tidak sampai ke stesen minyak.
Menteri Pertahanan, Ben Wallace berkata, anggota tentera akan bekerja bersama pemandu setelah selesai menjalani latihan pada minggu ini.
“Anggota tentera ketika ini berlatih di beberapa lokasi pengangkutan.
“Mereka akan ditugaskan untuk menghantar bekalan petrol di seluruh negara untuk membantu
menambah baik stok bahan bakar mulai Isnin ini,” jelas kerajaan.
Selain itu, para menteri juga mengumumkan lebih 300 pemandu lori tangki minyak asing dibenarkan bekerja sementara di UK sehingga akhir bulan Mac.
“Hasil usaha industri sepanjang minggu lalu menunjukkan situasi di stesen minyak semakin bertambah baik.
“Ia amat penting untuk menekankan tiada kekurangan bahan bakar itu di peringkat nasional di UK dan orang ramai harus terus membeli bahan bakar itu secara normal.
“Semakin cepat kita kembali ke tabiat membeli biasa, lebih pantas kita kembali normal,” katanya.
– AGENSI