SEOUL: Korea Selatan bakal menyertai beberapa negara lain di seluruh dunia dalam perlumbaan angkasa lepas apabila melancarkan roket buatan sendiri ke orbit buat pertama kali.
Korea Selatan menjadi negara ke-12 yang mempunyai ekonomi terbesar di dunia, terutamanya dalam sektor teknologi, termasuk telefon pintar.
Namun, negara ini sedikit ketinggalan dalam sektor penghasilan kapal angkasa lepas berbanding negara Asia lain seperti China, Jepun dan India.
Korea Selatan bakal menjadi negara ketujuh yang melancarkan roket dengan muatan lebih satu tan ke angkasa lepas sekiranya Kenderaan Pelancar Satelit Korea II yang dinamakan Nuri berjaya membawa muatan seberat 1.5 tan ke orbit dari tapak pelancaran di Goheung.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara ini tidak menyatakan bila roket berkenaan akan dilancarkan.
Roket Nuri sudah dibangunkan sejak sedekad lalu dengan kos perbelanjaan sebanyak dua trilion won (RM6.7 trilion).
Roket tersebut seberat 200 tan dengan 47.2 meter panjang dan bakal digerakkan dengan enam enjin.
Korea Selatan sebelum ini pernah melancarkan misi ke angkasa lepas pada 2009 dan 2010 dengan bantuan Rusia, namun gagal.
Seoul menzahirkan harapan agar program angkasa lepas terbaharu ini membuka jalan kepada pelaburan lebih tinggi dalam bidang tersebut dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak berkaitan termasuk Elon Musk dari SpaceX. – AFP