TAL SHAEER: Selepas seorang petani warga Syria, Abdelbaqi Souleiman kehilangan tanaman gandum akibat kebakaran hutan, dia hanya mengharapkan penuaian yang lebih baik pada musim panas ini.
Namun, musim kali ini dilaporkan hampir tiada hujan.
“Tahun lalu, tanaman saya terbakar. Tahun ini pula, kami berdepan musim kering dan tidak dapat menuai gandum,” kata petani berusia 48 tahun itu.
Perubahan iklim meningkatkan ancaman musim kemarau dan kebakaran hutan di seluruh dunia.
Syria antara negara dilanda teruk dengan taburan hujan rendah pada tahun ini terutamanya di wilayah Hasakeh.
Di wilayah timur laut Syria di bawah pentadbiran Kurdish, penuaian gandum yang tidak memberangsangkan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan makanan di negara dilanda perang yang mana 60 peratus penduduk bergelut untuk membeli makanan.
Di Hasakeh, agensi bantuan kemanusiaan menganggarkan pengeluaran tanaman menurun lebih 95 peratus berbanding tahun lalu di sebahagian besar wilayah berkenaan.
Selain itu Abdelbaqi berkata, kekurangan hujan ditambah dengan harga bahan bakar yang tinggi untuk pengairan serta biji benih dan baja, menjadikan aktiviti penanaman bijirin hampir mustahil dilakukan.
“Pada tahap ini, kami terpaksa berhenti untuk menanam gandum.
“Para petani harus mula menanam tanaman herba seperti daun ketumbar dan jintan kerana harganya lebih murah dan dapat menjual dalam kuantiti yang banyak,” katanya di kampung Tal Shaeer.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang tinggal di luar pekan Qahtaniyah, Hajji Mohammed, 71, berkata, dia dan jirannya menghadapi masa yang sukar.
“Pertanian sudah menjadi perniagaan yang merugikan.
“Sekiranya tiada hujan pada tahun ini, ramai orang akan berpindah,” katanya yang bekerja di sektor pertanian selama 45 tahun di kampung Kardeem Haleema.
Setelah bertahun-tahun mengalami kerugian, keluarga tersebut tidak mempunyai sumber pendapatan untuk meneruskan aktiviti penanaman pada musim lain.
“Kami cuba gadai emas atau perabot supaya dapat membeli benih untuk penanaman seterusnya,” katanya. – AFP