JAKARTA: Sebuah pesawat kargo dilaporkan terhempas di lapangan terbang di daerah Puncak, wilayah timur Papua, Indonesia, hari ini.
Insiden itu mengorbankan juruterbang dan mencederakan pembantu juruterbang.
Seorang jurucakap dari Kementerian Pengangkutan Indonesia, Adita Irawati memaklumkan perkara itu kepada Xinhua menerusi pesanan teks.
Jelas Adita, kejadian itu berlaku ketika pesawat kecil yang dikendalikan oleh PT Smart Cakrawala Aviasi, mendarat di Lapangan Terbang Aminggaru.
“Juruterbang itu meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital manakala pembantu juruterbang mengalami kecederaan,” katanya.
Menurut Adita, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Timika di daerah Timika yang terletak di wilayah berkenaan.
Tambah beliau, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas tersebut.
Jelas Adita, Lapangan Terbang Aminggaru ditutup buat sementara waktu. – AGENSI