JAKARTA: Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) menafikan penularan maklumat palsu mengenai negara ini dilanda gelombang haba.
Menerusi mesej yang dikongsi dalam aplikasi Whatsapp, maklumat itu menyebut Indonesia kini dilanda musim panas luar biasa dengan menyaksikan suhu pada waktu siang mencecah sehingga 40 darjah Celsius.
Maklumat itu juga menasihatkan orang ramai supaya jangan minum air berais atau sejuk bagi mengelakkan masalah kesihatan susulan cuaca panas.
Jurucakap BMKG, Urip Haryoko berkata, maklumat itu adalah palsu dan Indonesia tidak mengalami gelombang haba seperti yang didakwa.
Katanya, gelombang haba sering berlaku terhadap negara yang terletak pada latitud pertengahan dan tinggi.
“Indonesia terletak di garisan khatulistiwa dan tidak mungkin berlaku gelombang haba.
“Gelombang haba didefinisikan sebagai cuaca panas luar biasa yang berlaku sekurang-kurangnya lima hari berturut-turut berdasarkan standard yang ditetapkan oleh Badan Meteorologi Dunia,” katanya.
Selain itu, bagi dikategorikan sebagai gelombang haba, sesebuah kawasan perlu merekodkan suhu maksimum harian melebihi statistik standard, iaitu 5 darjah Celsius lebih panas dan berlangsung lima hari berturut-turut.